Wednesday, March 31, 2021

BBM3410-2021- MINGGU 2- NOTA ELEMEN ASAS GRAFIK

 Asas Grafik Dalam Multimedia

 Asas grafik merupakan perkara asas yang penting diketahui dan difahami oleh semua yang berminat dalam penggunaan kamera, video serta apa juga bahan yang mengandungi grafik. Terdapat lima elemen asas grafik iaitu mudah, warna, teks, kesesuaian dan keseimbangan.


       

Elemen Asas Grafik

Mudah

Mudah didefinisikan sebagai penglihatan seseorang terhadap sesuatu gambaran yang mudah difahami sama ada dalam bentuk foto mahupun video. Mudah juga membolehkan sesuatu gambaran tersebut daat difahami tanpa sebarang kekeliruan. Sebagai contoh, gambar iklan air coke beserta teks “Hanya RM 1” dengan latar belakang kosong. Berdasarkan iklan tersebut, kita mudah memahami bahawa mereka ingin mempromosikan air coke pada harga RM1 sahaja.

Warna

Warna dapat didefinisikan sebagai kombinasi warna ataupun satu warna dalam sesuatu gambaran dalam bentuk foto mahupun video. Grafik yang wajar tidak melebihi penggunaan tiga warna, namun terdapat banyak warna yang didapati dalam kebanyakan foto dan video bergantung kepada mesej yang ingin disampaikan. Sebagai contoh, penggunaan warna kuning pada lambang, merah (bungkusan) dan hitam (menunjukkan air coke) dalam kebanyakkan iklan McDonald bagi memfokuskan mesej yang hendak disampaikan.

Teks

Teks merujuk pada jenis dan saiz font yang dipilih dalam persembahan grafik. Selain itu, kandungan teks juga diambil kira sebagai pemahaman terhadap grafik. Ketiga-tiga elemen ini digunakan agar mesej yang hendak disampaikan dapat diterima dan difahami dengan baik. Kebiasaannya penggunaan saiz font bagi teks yang agak panjang adalah berbeza dengan penggunaan saiz yang besar terhadap perkara yang hendak difokuskan dan sedikit kecil terhadap teks-teks sampingan. Misalnya, perkataan ‘MIX & MATCH’ dalam iklan McD ditulis dengan menggunakan saiz font yang besar agar dapat dibaca dan pengguna berminat untuk membelinya.

Kesesuaian

Kesesuaian dalam grafik bermaksud sebagai grafik yang bersesuaian dengan latar iaitu latar tempat, latar masa, latar watak yang terdapat dalam sesuatu foto mahupun video. Sebagai contoh, sebuah gambar yang ditangkap dengan berlatarkan tumbuh-tumbuhan, pokok, matahari adalah sesuai dengan konsep yang hendak diketengahkan iaitu konsep ketenangan.

Keseimbangan 

Keseimbangan ialah ruang dalam foto atau video. Ruang yang dimaksudkan ialah ruang kanan, kiri, atas dan bawah. Kesemua ruang ini digunakan dengan sebaiknya bagi memastikan foto atau video yang dihasilkan itu adalah seimbang dan tidak berat sebelah. Keseimbangan bukan sahaja antara gambar tetapi juga melibatkan warna dan teks yang digunakan. Contohnya, sebelah kiri terdapat seorang perempuan sedang berlari dengan diikuti tulisan teks pada sebelah kanan. Maka, gambar tersebut diseimbangkan dengan penggunaan teks.


 Rujukan: Normaliza Abd Rahim (2019), Multimedia dalam Bahasa, Penerbit UPM, Serdang



 

3 comments:

SENARAI TAJUK TUGASAN BBM3410 2021

SENARAI TAJUK TUGASAN BBM3410 1.  BIODATA DIRI 2.   CERITA SOSIAL 1 3.  PENDEKATAN ANALISIS WACANA 4.   NOTA ELEMEN ASAS GRAFIK 5.   ASAS GR...